Pengasas Crackhouse Comedy Club gagal gugur 3 tuduhan guna representasi

Pengasas Crackhouse Comedy Club gagal gugur 3 tuduhan guna representasi

Mahkamah terus menetapkan tarikh perbicaraan sementara menunggu pihak pembelaan membuat representasi kedua.

Rizal Van Geyzel didakwa atas 3 tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di platform media sosial tahun lepas. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Pejabat Peguam Negara menolak representasi dikemukakan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel bagi menggugurkan tiga tuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Aslinda Che Seman memaklumkan keputusan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak pada sebutan kes itu hari ini.

Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam mewakili Rizal, M Pravin.

Pravin kemudian memohon mahkamah agar menetapkan satu tarikh sebutan kes kerana pihaknya akan memasukkan representasi kedua.

“Untuk representasi kedua, alasan masih sama, iaitu untuk gugurkan kes, namun perkara baharu yang akan dimasukkan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

“Saya memerlukan dua hingga tiga minggu untuk failkan representasi itu dan mohon keputusannya sebulan daripada sekarang.”

Bagaimanapun, Nor Hasniah menolak permohonan itu dan terus menetapkan tarikh perbicaraan.

“Saya akan terus tetapkan tarikh perbicaraan kerana itu akan menjimatkan masa mahkamah, tetapi kamu boleh teruskan masukkan representasi, apabila kamu dapat keputusannya nanti, boleh maklum pada mahkamah.

“Kalau representasi kedua diterima, kita tak teruskan dengan perbicaraan,” katanya.

Hasniah kemudian menetapkan 6 Apr bagi sebutan semula kes untuk pemfailan pernyataan saksi.

Bagi tarikh perbicaraan pula, mahkamah menetapkan tujuh hari bermula pada 14 Apr; 2,3,22 dan 31 Mei; serta 1 dan 2 Jun.

Mengikut tiga tuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Rizal van Geyzel”, Instagram “rizalvangeyzel” dan TikTok “rizalvangeyzel” antara 4 hingga 6 Jul tahun lepas.

Ketiga-tiga tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman diperuntukkan ialah denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.