Penduduk Sungai Ara menang rayuan akhir hentikan projek lereng bukit

Penduduk Sungai Ara menang rayuan akhir hentikan projek lereng bukit

Mahkamah Persekutuan menolak kelulusan pelan diberikan pihak berkuasa tempatan kepada Sunway City sebagai 'ultra vires' dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Gambaran artis mengenai projek Sunway Hills di Sungai Ara, di Pulau Pinang, yang diberikan kelulusan pembangunan pada 2012. (Gambar PropertyTalk)
PUTRAJAYA:
Penduduk di projek kondominium di Sungai Ara menang dalam rayuan terakhir mencabar keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi kebenaran kepada pemaju membina skim perumahan di lereng bukit.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanaban, berkata kelulusan pihak berkuasa tempatan terhadap permohonan Sunway City (Pulau Pinang) Sdn Bhd untuk kebenaran merancang adalah ‘ultra vires’ dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, justeru terbatal.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan pihak berkuasa tempatan untuk memberikan kelulusan perancangan,” katanya ketika menyampaikan alasan luas bagi satu lagi penghakiman penting oleh mahkamah atasan hari ini.

Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Rhodzariah Bujang merupakan panel hakim yang mendengar rayuan itu, tahun lalu.

Panel hakim juga memerintahkan Sunway City dan pihak majlis membayar kos RM300,000 kepada penduduk.

Gurdial Singh Nijar, Jessica Binwani dan Abraham Au, mewakili penduduk, manakala peguam, Cyrus Das dan Christina Siew, mewakili Sunway City. Karin Lim dan M Murugan pula mewakili MBPP.

Pada 30 Nov 2021, penduduk terbabit dibenar menangguhkan rayuan selepas Mahkamah Persekutuan meluluskan 12 persoalan undang-undang untuk ditentusahkan.

Intipati rayuan itu merujuk sama ada Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 mengawal pembangunan di lereng bukit 76.2m di atas paras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

Pada 7 Mei 2021, penduduk gagal dalam pertembungan di mahkamah apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman oleh Sungai City dan menolak keputusan Lembaga Rayuan Pulau Pinang, yang dibuat pada Januari 2016.

Lembaga Rayuan itu menolak kelulusan pelan diberikan oleh MBPP kepada Sunway City bagi memajukan tanah di Sungai Ara dalam skim perumahan berpagar dan dikawal.

Tanah itu, berkeluasan 32.7ha, berada pada kedudukan 76.2m di atas paras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.