
Majlis tertinggi parti itu yang bermesyuarat membuat keputusan itu selepas Ongkili mendapat undian suara tertinggi.
“Walaupun saya telah mengumumkan untuk berundur pada pemilihan PBS akan datang, (tetapi) ahli majlis tertinggi mengundi saya untuk kekal.
“Ini akan memberi PBS masa yang cukup untuk mengenal pasti pengganti saya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu yang pertama tahun ini.
Ongkli mengucapkan terima kasih kepada ahlinya atas sokongan dan kepercayaan berterusan diberikan kepadanya.
Beliau berkata, untuk mencari penggantinya, parti itu memerlukan masa untuk mengenal pastinya dan berpegang pada rancangan asal untuk melepaskan jawatan presiden dalam tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, Ongkili berkata, terdapat ramai pemimpin muda dalam parti yang mampu membina dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi apabila tiba masanya.
Pada 28 Jun lalu, Ongkili mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai presiden dalam tempoh tiga tahun lagi.
Katanya, tempoh diberikan itu bertujuan membolehkan parti berkenaan mengenal pasti calon sesuai untuk mengambil alih tempatnya.
Ongkili sebelum ini diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) itu, pada mulanya memangku jawatan presiden PBS pada 2017 selepas pemimpin parti, Joseph Pairin Kitingan, mengumumkan persaraan daripada politik.
Pada tahun berikutnya, beliau yang bekas Ahli Parlimen Kota Marudu dilantik sebagai presiden baharu PBS sehingga kini.