Loke minta syarikat penerbangan tumpu aspek operasi, elak kelewatan

Loke minta syarikat penerbangan tumpu aspek operasi, elak kelewatan

Menteri pengangkutan itu berkata, beliau maklum tentang rungutan orang ramai berhubung kelewatan penerbangan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook beramah mesra bersama para penumpang ketika hadir pada Majlis Pelepasan Pesawat Tambahan Khas AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di klia2 malam tadi. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Kementerian Pengangkutan mahu syarikat penerbangan menumpukan kepada aspek operasi bagi mengelak berlakunya kelewatan penerbangan.

Menterinya, Loke Siew Fook berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah bagi mencari penyelesaian isu terbabit.

“Memang saya tahu berkenaan rungutan orang ramai berhubung isu delay (kelewatan) penerbangan. Ini disebabkan pelbagai faktor seperti teknikal, cuaca dan sebagainya.

“Tetapi saya sudah minta syarikat penerbangan untuk beri fokus kepada operasi sebab kita harapkan ada suatu operasi lebih baik bagi kurangkan masalah kelewatan penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan pesawat penerbangan tambahan istimewa AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di klia2 malam tadi.

AirAsia sebelum ini mengumumkan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Jan 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan harga tiket RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri.

Loke berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai membuktikan inisiatif tersebut memberikan manfaat kepada penumpang.

“Kita ingin beri peluang kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Semenanjung untuk pulang menyambut perayaan di Sabah dan Sarawak.

“Bukan sahaja untuk Tahun Baharu Cina tetapi ia akan diteruskan untuk Hari Raya kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.