
Peguam bekas perdana menteri itu Shafee Abdullah yang menjalankan firma Shafee & Co sebaliknya berkata, firmanya itu memiliki “persaingan sengit” dengan firma Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST).
“Tidak pernah ada pakatan antara dua firma untuk melewatkan atau memohon penangguhan,” kata Shafee dalam hujahannya di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang untuk mendengar permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah pada Ogos tahun lalu.
Shafee mewakili Najib ketika perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi dan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada lewat Julai 2022, Najib memecat Shafee dan firma guamannya dan melantik ZIST serta peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik untuk mengetuai pembelaan bagi hujahan di akhir rayuan.
Shafee berkata, Hisyam sebagai seorang peguam kanan, dimalukan oleh Mahkamah Persekutuan apabila permohonannya untuk penangguhan ditolak dan beliau terpaksa duduk di mahkamah walaupun sudah memohon untuk menarik diri daripada membela Najib.
“Di manakah Mahkamah Persekutuan mendapat idea bahawa Hisyam tidak boleh menarik diri? Ini satu kejadian memalukan untuk seorang peguam kanan,” katanya.
Shafee berkata, Mahkamah Persekutuan berbuat demikian kerana tidak mahu Najib tidak diwakili peguam ketika pendengaran.
“Peguam dari ZIST dibenarkan keluar apabila Hisyam memberitahu sidang hakim bahawa mereka menarik diri dari kes itu. Bagaimanapun, Hisyam kekal kerana beliau tidak mempunyai pilihan,” katanya.
Katanya, Najib hanya meminta penangguhan selama tiga atau empat bulan supaya Hisyam dan pasukan pembelaan yang baharu dapat membuat persediaan lebih baik untuk membuat hujahan dalam kes itu.
“Letak ketepi pangkat dan kedudukan. Najib hanya mahu satu penangguhan,” katanya.
Shafee berkata, Najib dinafikan perbicaraan yang adil kerana mahkamah membenarkan pendakwa raya ‘ad-hoc’ V Sithambaram untuk berhujah sedangkan Hisyam tidak boleh membuat hujahan kerana beliau tidak bersedia.
Mahkamah Persekutuan hanya berpandukan kepada hujahan bertulis pembelaan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, katanya.
Pada 23 Ogos tahun lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau, jika gagal dibayar, tambahan lima tahun penjara.
Najib meminta keputusan itu diketepikan dan mahu satu lagi panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya.
Pada 16 Ogos, sebelum keputusan rayuan itu, permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan bagi memasukan bukti baru dan membatalkan kelayakan hakim Nazlan Ghazali ditolak oleh mahkamah.
Mahkamah juga menolak permohonan untuk menangguhkan lagi rayuan bagi membolehkan satu pasukan baru pembelaan Najib membuat persediaan dan berhujah dalam rayuan itu.
Panel lima hakim yang mendengar permohonan Najib adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jai.
Pendengaran akan diteruskan selama tiga hari bermula 20 Feb ini.