
Shafee, yang mewakili bekas perdana menteri itu, juga mahu Abu Bakar menarik diri, dengan menyatakan hanya hakim Mahkamah Persekutuan patut menganggotai panel.
Sebaliknya, Shafee mencadangkan agar panel tiga hakim bersidang untuk mendengar permohonan semakan seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mengikut seksyen itu, setiap prosiding di Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan dibereskan oleh tiga orang hakim atau mana-mana bilangan ganjil yang lebih besar sebagaimana yang ditentukan oleh ketua hakim negara dalam apa-apa kes tertentu.
Pendakwaraya ad hoc V Sithambaram membantah bantahan awal Shafee, dengan menyatakan bahawa pengaturan sedemikian, melantik hakim Mahkamah Rayuan, dibenarkan mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Rayuan, selain presiden Mahkamah Rayuan, boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan jika ketua hakim negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu, mengikut kehendak keadaan, oleh ketua hakim negara.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mengetuai panel lima hakim yang mendengar permohonan Najib.
Turut bersidang ialah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan.
Pada 23 Ogos tahun lepas, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau, jika gagal dibayar, tambahan lima tahun penjara.
Najib meminta keputusan itu diketepikan dan satu lagi panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya.
Shafee berkata, Tengku Maimun tidak sepatutnya dibenarkan memutuskan siapa yang bersidang dalam panel kerana penyertaannya sendiri dalam rayuan itu adalah salah satu alasan yang dikemukakan Najib bagi mewajarkan pendengaran semula rayuan.
Beliau juga berkata, istilah “kepentingan keadilan” dalam Perkara 122(2) Perlembagaan tidak jelas.
Katanya, tidak termasuk lima hakim yang mendengar rayuan Ogos lepas, masih terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang boleh bersidang untuk mendengar semakan itu.
Menegaskan bahawa Tengku Maimun harus menjelaskan pemilihan Abu Bakar, Shafee menambah: “Beliau tidak boleh mengatakan ia budi bicaranya tanpa memberikan alasan.”
Sithambaram berkata, ketua hakim negara mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang dimahukannya menganggotai panel. Gambaran yang diberikan Shafee bahawa panel itu berat sebelah “boleh dibantah dan bersifat menghina”.
Shafee membalas dengan berkata, pasukan guaman Najib hanya mengetahui pada pagi ini bahawa Abu Bakar akan menganggotai panel, justeru tidak sempat mengemukakan bantahan lebih awal.
“Saya hanya memberikan cadangan, dan ketua hakim negara patut memuji saya (kerana memberikan cadangan itu),” katanya.
Beliau juga berkata, Najib tidak meminta layanan istimewa hanya kerana beliau bekas perdana menteri.