
Kumpulan itu telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memaklumkan kepada kepentingan projek itu dan menyatakan kekecewaannya terhadap arahan beliau untuk menangguhkan projek pembangunan semula.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Anwar mengarahkan penangguhan projek pembangunan semula itu sementara menunggu rundingan semula.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani memberi amaran bahawa kelewatan terbaru boleh menyaksikan penduduk Kampung Sungai Baru terpaksa menunggu lebih sedekad untuk projek pembangunan semula itu siap.
Beliau memberitahu FMT, isu yang berlarutan sejak lama sangat kompleks dan ramai yang tidak memahami sebenar isu itu.
Menerusi memorandum, penduduk berkata, keputusan Anwar mengarahkan penangguhan projek itu telah menimbulkan kekecewaan dan memberi kesan emosi teruk kepada mereka.
“Keadaan rumah kami di Kampung Sungai Baru amat daif, usang dan tidak selamat untuk didiami dan berharap projek ini dapat mengubah kehidupan kami kelak,” kata wakil kumpulan itu, Adam Abdul Aziz, dalam memorandum yang dilihat FMT.
“Kami juga berharap dapat meninggalkan kediaman lebih selesa dan bernilai untuk anak cucu sebelum kami menutup mata.”
Kelewatan projek itu tertumpu kepada kumpulan minoriti pemilik tanah yang tidak bersetuju dengan rancangan pembangunan semula apabila dibentangkan kepada pihak berkepentingan pada 2016.
Rundingan bertahun-tahun dengan kumpulan minoriti itu ternyata tidak membuahkan hasil dan mereka masih menentang projek pembangunan semula, yang membawa kepada pemaju mendapatkan perintah pengambilan tanah.
Adam berkata, liputan media mengenai isu itu sentiasa memihak kepada kumpulan minoriti yang telah pun menerima pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Kami, kumpulan majoriti pemilik tanah, merasakan hak dan suara kami telah diabaikan oleh kerajaan dan tiada siapa yang mendengar kesusahan kami,” katanya.
Beliau berkata, mereka tidak mempunyai masalah dengan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan kumpulan minoriti tetapi ia tidak sepatutnya mengorbankan mereka yang bersetuju dengan projek pembangunan semula itu.
“Oleh itu, kami menggesa agar projek pembangunan semula itu dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan lagi. Kami mahukan keadilan dan kami berharap suara majoriti akan didengari,” katanya.