Mahkamah tolak bantahan Shafee berhubung hakim Mahkamah Rayuan dalam panel semakan Najib

Mahkamah tolak bantahan Shafee berhubung hakim Mahkamah Rayuan dalam panel semakan Najib

Hakim Abdul Rahman Sebli berkata, mahkamah tidak yakin dengan hujah peguam Najib Razak itu bahawa Hakim Abu Bakar Jais harus menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan.

Undang-undang jelas bahawa ketua hakim negara boleh melantik hakim Mahkamah Rayuan untuk semakan mahkamah persekutuan, kata ketua panel hakim Abdul Rahman Sebli.
PUTRAJAYA:
Pendengaran permohonan Najib Razak untuk Mahkamah Persekutuan menyemak semula sabitan dan hukuman penjaranya dalam kes rasuah SRC International diteruskan atas merit selepas bantahannya terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais untuk bersidang dalam panel hakim yang mendengar permohonan itu ditolak pada tengah hari tadi.

Pendengaran diteruskan selepas mahkamah menolak permohonan Shafee Abdullah yang meminta satu penangguhan.

Terdahulu Hakim Abdul Rahman Sebli berkata mahkamah tidak yakin dengan hujah Shafee bahawa Hakim Abu Bakar Jais harus menarik diri.

“Undang-undang jelas bahawa ketua hakim negara boleh melantik hakim Mahkamah Rayuan untuk semakan Mahkamah Persekutuan.

“Kami menolak hujah bahawa beliau (Abu Bakar) tidak sepatutnya terlibat,” katanya mengenai keputusan sebulat suara itu.

Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan antara panel lima hakim itu.

Najib yang juga bekas perdana menteri memafailkan permohonan semakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya kerana salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau, jika gagal dibayar, tambahan lima tahun penjara.

Najib meminta keputusan itu diketepikan dan mahu satu lagi panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya.

Pada 16 Ogos, sebelum keputusan rayuan itu, permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan bagi memasukan bukti baru dan membatalkan kelayakan hakim Nazlan Ghazali ditolak oleh mahkamah.

Mahkamah juga menolak permohonan untuk menangguhkan lagi rayuan bagi membolehkan satu pasukan baru pembelaan Najib membuat persediaan dan berhujah dalam rayuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.