
Menurut Bernama, Khairul berkata, langkah itu menjadikan sektor pembantu rumah asing ditambah menjadikan lapan sektor dibenarkan bawah program rekalibrasi itu.
Khairul berkata, majikan boleh memohon menggaji pekerja asing menerusi program terbabit bermula 27 Jan dengan permohonan dibuat melalui dalam talian.
Program rekalibrasi akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun ini. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata syarat bagi program itu akan lebih anjal, tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Sebelum ini, program sama yang dilaksanakan sehingga 31 Dis 2022 menyaksikan lebih 410,000 pendatang asing tanpa dokumen mendaftar sebagai pekerja asing sah.
Sebelum ini, program itu dibuka kepada majikan yang terlibat dalam sektor pembinaan, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.
Program rekalibrasi buruh dilaksanakan demi memastikan pendatang asing tanpa dokumen didaftar sebagai pekerja asing sah yang boleh digaji majikan yang layak.
Program terbabit juga membenarkan pendatang asing secara sukarela kembali ke negara asal sekiranya menepati syarat ditetapkan pihak berkuasa.