
Dalam emel kepada pihak pendakwaan dan pembelaan, hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas, berkata hakim perbicaraan, Zaini Mazlan akan memberikan penghakimannya pada 3 Mac.
Tiada alasan diberikan bagi penangguhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, mengesahkan perubahan tarikh baru itu.
Zaini dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan, semalam, bersama lima yang lain.
Beliau sebelum ini menetapkan 30 Jan sebagai tarikh keputusan selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak berkaitan pada 16 Nov.
Pendakwa Raya Ad-Hoc Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala bekas perdana menteri diwakili peguam Shafee Abdullah dengan Arul Kanda diwakili N Sivananthan.
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.
Pihak pendakwaan menutup kes pada 7 Sept selepas memanggil 16 saksi, termasuk Ali Hamsa, yang juga bekas ketua setiausaha negara.
Saksi lain dipanggil ke kandang saksi adalah bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh dan bekas pengarah Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan imuniti daripada tindakan perundangan dan mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Arul Kanda dituduh bersubahat bersama Najib melakukan kesalahan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, antara 22 dan 26 Feb 2016.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya terhadap tujuh pertuduhan dalam kes SRC International, pada 23 Ogos lalu.