
Dalam sidang media, Anwar berkata suruhanjaya itu akan berusaha menangani kes melibatkan penderaan dan masalah sosial berkait kanak-kanak.
“Kita minta Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan jawatankuasa sosial untuk meneliti semua masalah yang terkait dan juga penyelenggaraan bawah (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Nancy Shukri,” katanya.
Noor Aziah Mohd Awal dilantik sebagai pesuruhjaya kanak-kanak pertama pada Ogos 2019. Beliau kemudian dilantik sebagai anggota Suhakam tahun lalu.
Menurut Anwar, nama pesuruhjaya itu akan diumumkan oleh salah seorang menteri terlibat.
Pada 9 Jan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak.
Beliau berkata, suruhanjaya bebas akan mempunyai lebih kuasa dan autonomi, dan boleh bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak.
Azalina berkata, walaupun pengawasan sedemikian diberikan kepada pesuruhjaya Suhakam, suruhanjaya bebas adalah lebih sesuai.