
“APMM akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan kapal itu.
“Antara akan ditanya ialah mengenai keadaan keselamatan kapal itu sebelum belayar dan kebajikan anak kapal termasuk sebab laporan mengenai kehilangan kapal berkenaan hanya dilaporkan pada 9 Jan sedangkan ia sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Dis lepas,” katanya kepada Bernama.
Pada 9 Jan, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari sama.
Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 14 Jan, selepas semua usaha dilaksanakan tidak menemukan sebarang petunjuk.
Zubil juga berkata siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun membawa muatan batang paip pada hari berkenaan.