Thailand cipta rekod raih gelaran ke-7 Piala AFF

Thailand cipta rekod raih gelaran ke-7 Piala AFF

Skuad Gajah Perang melebarkan rekod pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala AFF selepas memenangi edisi 1996, 2000, 2002, 2014, 2016 dan 2020.

Ketua Pasukan Thailand Theerathon Bunmathan meledak gol tunggal perlawanan menerusi rembatan padu kaki kanan dari luar kotak penalti pada minit ke-24. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Thailand berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul gelaran buat kali ketujuh selepas menundukkan Vietnam 1-0, pada final kedua Piala AFF 2022 yang berlangsung sengit di Stadium Thammasat di Pathum Thani, malam tadi.

Keputusan itu membolehkan skuad Gajah Perang bimbingan Alexandre Polking mengesahkan kejuaraan dengan keputusan agregat 3-2, sekali gus melebarkan rekod pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala AFF, selepas memenangi edisi 1996, 2000, 2002, 2014, 2016 dan 2020.

Pada pertembungan itu, Ketua Pasukan Thailand Theerathon Bunmathan meledak gol tunggal perlawanan, yang juga jaringan sulungnya dalam kempen kali ini menerusi rembatan padu kaki kanan dari luar kotak penalti pada minit ke-24, selepas menerima hantaran Adisak Kraisorn.

Gol itu menambah intensiti perlawanan yang sememangnya tegang sebelum pengendali Vietnam Park Hang Seo melakukan pertukaran awal, dengan membawa masuk pemain sensasi Nguyen Quang Hai menggantikan Nguyen Tuan Anh pada minit ke-36, dalam usaha memburu gol penyamaan.

Jurulatih Thailand Alexandre Polking memegang trofi bersama pasukannya selepas menumpaskan Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF di Stadium Universiti Thammasat. (Gambar AP)

Pham Tuan Hai dan Do Duy Manh turut dibawa masuk Hang Seo pada awal babak kedua menggantikan Phan Van Duc dan Bui Hoang Viet Anh bagi mengubah kedudukan jaringan, bagaimanapun benteng pertahanan Thailand beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

Penyerang Nguyen Tien Linh terlepas peluang menjaringkan gol penyamaan, apabila percubaannya dari sebelah kiri gawang berjaya diselamatkan penjaga gol Kampon Phatomakkakul pada minit ke-70 sebelum permainan diganggu dengan kecederaan dialami beberapa pemain di padang.

Di penghujung perlawanan, Vietnam yang tidak mengalah terlepas beberapa peluang antaranya tandukan Nguyen Thanh Chung yang tersasar pada minit ke-81, sebelum rembatan Quang Hai melewati tiang gol pada masa kecederaan.

Thailand yang mengatasi Malaysia pada aksi separuh akhir, terpaksa bermain dengan 10 pemain di saat-saat akhir apabila Peeradol Chamrasamee diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, namun situasi itu tidak membawa perbezaan.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino turut hadir menyaksikan perlawanan.

Selepas Thailand, Singapura pasukan kedua paling berjaya dengan rekod empat, gelaran diikuti Vietnam (dua) dan Malaysia sekali iaitu pada 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.