
Peningkatan itu ialah penyelarasan kos sara hidup dan bergantung pada bila mula menerima bayaran kurang upaya.
Seorang penerima yang enggan dinamakan berkata dia terkejut dan gembira apabila wang yang lebih banyak dimasukkan ke akaun banknya.
“Saya perasan bayaran kurang upaya bulanan daripada Perkeso bertambah hampir 10%. Bila saya hubungi ibu pejabat Perkeso, pegawai beritahu bayaran bulanan telah dinaikkan.
“Tetapi pegawai itu juga maklumkan kepada saya bahawa belum ada keputusan sama ada kenaikan itu akan diundur tarikh ke 1 Jan tahun lepas, seperti yang dijanjikan, dan tunggakan berkaitan dibayar juga. Saya harap mereka bayar tunggakan itu kerana kami sedang susah,” katanya.
Kali terakhir Perkeso meningkatkan bayaran kurang upaya itu pada September 2017. Bayaran dibuat awal bulan ini bersempena Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini.
Seorang lagi penerima yang menerima bayaran kurang upaya mininum sebanyak RM475 setiap bulan berkata ia bertambah kepada RM550.
“Walaupun kenaikan itu cuma RM75 setiap bulan, tetapi amat membantu seisi rumah saya,” katanya, yang tergolong dalam kumpulan B40.
Seorang pegawai Perkeso ketika dihubungi mengesahkan bahawa bayaran kurang upaya kepada penerima yang layak dinaikkan antara 0.7% hingga 9.4%, bergantung pada tahun mereka mula menerima bayaran, berkuatkuasa 1 Jan.
Pegawai itu berkata penyelarasan bayaran itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima sedia ada.
Penyelarasan kos sara hidup bagi bayaran Perkeso pernah dilakukan sebanyak 10 kali menerusi Skim Keilatan sejak 1982, dan 12 kali menerusi Skim Bencana Pekerjaan sejak 1977.