Keluarga kru kapal kargo hilang rayu jangan hentikan SAR

Keluarga kru kapal kargo hilang rayu jangan hentikan SAR

Sandra Littor, yang juga kakak kepada kru Derrent Littor, berkata dia dan ahli keluarganya yakin adiknya bersama empat kru kapal lain yang dilaporkan hilang itu masih memerlukan bantuan.

Sandra Littor (duduk tengah) bersama ahli keluarga lain merayu pasukan penyelamat tidak menghentikan pencarian kapal MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Jan lalu.
KOTA KINABALU:
Keluarga seorang daripada kru kapal kargo, MV Dai Cat 06, yang dilaporkan hilang sejak 1 Jan lalu merayu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan agensi keselamatan negara ini.

Sandra Littor, 32, yang juga kakak kepada kru Derrent Littor, berkata dia dan ahli keluarganya yakin adiknya bersama empat kru kapal lain yang dilaporkan hilang itu masih memerlukan bantuan.

Katanya, ketika ini SAR kapal kargo MV Dai Cat 06 dihentikan oleh pasukan keselamatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

“Operasi SAR ditamatkan dan hanya rondaan rutin dijalankan di perairan Indonesia serta Malaysia. Ini bermaksud tiada lagi SAR dan hanya akan aktifkan semula (SAR) sekiranya terdapat apa-apa petanda.

“Kami sekeluarga mengharapkan supaya SAR diteruskan kerana kami sentiasa positif bahawa adik dan empat kru lain sekarang ini sangat-sangat memerlukan bantuan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Melawa KKIP, di sini.

Sementara itu, keluarga Derrent turut melahirkan kekesalan mereka terhadap pemilik dan wakil syarikat perkapalan kerana sehingga kini tidak menghubungi keluarga kru kapal untuk memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, keluarga berharap syarikat MV Dai Cat 06 dan wakil syarikat terbabit dapat tampil bagi memberi penjelasan dan kerjasama sepenuhnya.

“Kami difahamkan, kapal kargo sebelum ini dibenarkan memunggah besi walaupun tidak berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Kami mahu pihak yang terbabit bertanggungjawab terhadap kapal kargo itu dan tampil menjelaskan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sandra berkata, mereka hanya mengetahui insiden kehilangan kapal kargo itu daripada seorang rakan sebelum berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, keluarga difahamkan setakat ini hanya ada enam laporan polis dibuat iaitu satu daripada ejen kapal kargo di Lumut dan lima laporan lagi daripada keluarga kru kapal.

Sementara itu, seorang lagi kakak Derrent, Lyli Littor, 28, berkata kali terakhir dia menghubungi Derrent pada jam 1.47 petang, 1 Jan lalu.

Katanya, ketika itu adiknya memaklumkan berada di perairan Singapura dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Derrent beritahu dia sentiasa memakai jaket keselamatan menyebabkan kami sekeluarga bimbang lebih-lebih lagi dengan kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, Derrent mula bekerja di syarikat MV Dai Cat 06 pada 28 Okt dan tamat perkhidmatan pada April tahun ini.

“Adik (Derrent) bekerja di syarikat perkapalan selama enam bulan untuk mengambil pengalaman dan ambil sijil yang lebih tinggi,” katanya.

Pada 10 Jan lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan APMM.

MV Dai Cat 06 yang keluar dari jeti Perak pada 23 Dis 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.