Anwar mahu penjawat awam buat teguran terhadap pelanggaran undang-undang

Anwar mahu penjawat awam buat teguran terhadap pelanggaran undang-undang

Perdana menteri mahu penjawat awam memaklumkannya kepadanya jika berlaku pelanggaran undang-undang dalam kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penjawat awam wajar membuat teguran kepada kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata warga perkhidmatan awam wajar membuat teguran terhadap kerajaan perpaduan yang didapati melanggar tindakan undang-undang.

Berucap pada perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari 2023 di Putrajaya, Anwar berkata, teguran tersebut turut membabitkan dirinya yang kini memegang portfolio menteri kewangan.

“Saya tekankan ialah penguatkuasaan, apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, saya lihat banyak fail ada banyak keterlanjuran.

“Nak salahkan pegawai…jika ‘minit’ daripada menteri atau perdana menteri, dia patuh. Tetapi, saya telah beri arahan yang jelas kalau ada ‘minit’ daripada perdana menteri sendiri pun kalau ada melanggar undang-undang, sekurang-kurangnyanya saya dimaklumkan terlebih dahulu,” lapor Bernama.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali.

Dalam pada itu, Anwar mahu Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam tidak mengamalkan budaya selesa, sebaliknya bertekad terus melaksanakan perubahan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, dalam apa-apa jua sistem, perlu ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan.

“Sudah mantap sistem yang bergerak puluhan tahun tapi harus ada kesediaan rendah diri untuk mengakui, ada kekuatannya tetapi bila kita letak tokoh baharu…harus ada hasrat bawa perubahan…tidak harus kita benar ada budaya selesa iaitu ‘culture of contentment’ yang menggigit kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.