
“Ini berkait dengan sentimen anti-persekutuan, di mana ‘orang Sabah’ diutamakan,” kata Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah.
“(Sentimen ini) telah menjadi lebih kuat di kawasan KDM dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”
Percubaan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin untuk menggulingkan gabungan pemerintah Sabah tidak akan disenangi komuniti itu, katanya.
Minggu lepas, Bung mengumumkan parti itu menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor. Bagaimanapun, lima daripada 17 ADUN Umno menyatakan sokongan buat Hajiji dan mematahkan usaha Bung, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (PKDM) untuk menjatuhkan kerajaan Hajiji.
Lee berkata, sokongan kepada Umno dalam kalangan komuniti KDM sudah semakin berkurangan, terutamanya dengan lebih banyak parti berpaksikan KDM ditubuhkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dikatakan terdapat sekurang-kurangnya 22 kerusi majoriti KDM antara 73 kerusi DUN di Sabah.
Berkenaan Warisan, Lee berkata, kemelut baru-baru ini tidak akan memberikan kesan yang begitu besar kerana parti pimpinan Shafie Apdal itu tidaklah mendapat sokongan yang kuat daripada kalangan komuniti KDM.
“Warisan tidak pernah berjaya menembusi kawasan KDM,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, parti itu terpaksa bergantung kepada bekas naib presidennya Peter Anthony dan timbalan presiden Darell Leiking untuk mendapatkan sokongan dalam komuniti itu.
Peter telah meletak jawatan dan menubuhkan parti berasaskan KDM, PKDM manakala Darell berdepan halangan selepas tewas di kerusi Parlimen Penampang pada PRU15 November tahun lepas.
Pensyarah kanan UiTM Sabah Tony Paridi Bagang juga berkata, Umno dan Warisan berisiko kehilangan sokongan KDM.
Beliau menyebut bahawa Hajiji ialah ketua menteri pertama yang melantik dua timbalan ketua menteri daripada komuniti KDM, Dr Joachim Gunsalam dan Jeffrey Kitingan.