
Menurut Astro Awani, tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan kertas tuduhan, dia didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu antara 1 hingga 3 Jan lepas dan dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.