Ceroboh perairan negara, 24 nelayan Vietnam ditahan

Ceroboh perairan negara, 24 nelayan Vietnam ditahan

Pengarah APMM Kelantan Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata semua mereka ditahan pada kedudukan antara 90 hingga 106 batu nautika dari Muara Tok Bali.

Menurut APMM, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 315(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 24 nelayan warga Vietnam ditahan bersama empat bot oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana dikesan menangkap ikan secara haram di perairan negara, Khamis lepas.

Pengarah APMM Kelantan, Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata semua mereka ditahan pada kedudukan antara 90 hingga 106 batu nautika dari Muara Tok Bali.

Beliau berkata bot pertama ditahan kira-kira 6.52 petang manakala tiga lagi telah dikesan antara 9.52 malam hingga 10.24 malam.

“Semua bot enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan negara apabila kapal penguatkuasa memberi arahan untuk menghentikan bot.

“Kapal Maritim (KM) Jujur APMM terus bertindak memintas dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot berkenaan sehingga mereka mengalah dan akur memberi kerjasama,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali, di sini hari ini, menurut Bernama

Syed Nor Adli berkata pihaknya menganggarkan empat bot itu termasuk peralatan menangkap ikan dan 1,200 liter bekalan minyak diesel bernilai RM1.66 juta.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 315(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

“Empat tekong terlibat juga disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 ,” katanya.

Menurutnya, semua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jika sabit kesalahan bagi kes perikanan, tekong boleh dihukum denda sehingga RM6 juta manakala RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.