Umum sebelum ‘buka gelanggang’ dikhuatiri cetus ‘permainan kotor’

Umum sebelum ‘buka gelanggang’ dikhuatiri cetus ‘permainan kotor’

Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan June Artisha Nazari berkata parti perlu menetapkan tarikh pemilihan terlebih dulu sebelum mendesak ahli mengumumkan secara terbuka.

Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan June Artisha Nazari berkata akar umbi Umno sudah melalui pelbagai pengalaman dan sudah tiba mandat baru dipilih. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seruan supaya ahli yang mahu bertanding jawatan tertinggi Umno membuat pengumuman tanpa “gelanggang dibuka” dikhuatiri mencetuskan “permainan kotor” menjelang pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.

“Kalau yang berminat umum secara terbuka sekarang saya khuatir yang berniat jahat akan bermain ‘dirty game’,” kata Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan June Artisha Nazari kepada FMT.

Beliau yang bersetuju dengan kenyataan Ketua Umno Wilayah Persekutuan Johari Ghani berkata, parti perlu menetapkan tarikh pemilihan terlebih dahulu, sebelum mendesak mana-mana individu mengumumkan secara terbuka agar semua pihak “boleh bersedia”.

Dalam wawancara bersama Malaysia Gazette semalam, Johari berkata Umno tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan mana-mana ahli ingin bertanding perlu membuat pemberitahuan awal.

Sewajarnya, kata beliau, tarikh pertandingan perlu diumumkan terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, June yang juga ketua Puteri Umno Kuala Pilah berkata, akar umbi Umno sudah melalui pelbagai pengalaman dan sudah tiba mandat baru dipilih.

“Ahli Umno dah lalui macam-macam pengalaman biarlah mereka diberi pilihan untuk menentukan yang terbaik.

“Mandat baru adalah lebih baik diperoleh daripada hanya bergantung dengan mandat yang dilanjutkan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Setiawangsa, Irwan Rizal, berkata tidak akan wujud soal perpecahan atau berpuak-puak jika dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan.

“Tidak timbul soal perpecahan atau apa-apa alasan lain,” katanya yang memberi contoh pemilihan 2018 apabila tiada perpecahan berlaku selepas jawatan presiden berdepan tiga penjuru antara Zahid, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Ikut perlembagaan. Akar umbi mahukan perubahan maka pemilihan ini menjadi medan bagi mengubah pemimpin mengikut cita rasa akar umbi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.