‘Tolong maafkan saya, terimalah balik’, Tian Chua rayu Anwar

‘Tolong maafkan saya, terimalah balik’, Tian Chua rayu Anwar

Bekas naib presiden PKR yang dipecat itu berkata beliau tidak mampu mempertahankan diri selepas melanggar peraturan disiplin parti.

Tian Chua berkata, beliau berharap Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi belas ihsan kepadanya untuk diterima kembali sebagai ahli.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden PKR dipecat, Tian Chua, berharap Anwar Ibrahim yang juga presiden parti itu memaafkannya kerana melanggar peraturan dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahliannya ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang calon PKR, pada PRU15, November lalu.

Beliau diberikan tempoh 14 hari mengemukakan rayuan, namun bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal yang juga penyokong kuat Anwar, mengakui tidak mempunyai alasan “mempertahankan diri”.

“Saya bertanding sebagai bebas dan melanggar peraturan disiplin parti,” katanya kepada FMT. “Terpulang kepada presiden sama ada beliau akan memaafkan saya atau tidak.

“Anwar boleh menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk memaafkan saya.

“Isunya adalah belas ihsan, bukan hukuman.”

Tian Chua bertembung dengan calon PKR, P Prabakaran dan lapan lagi calon lain bagi kerusi Batu, di mana beliau hilang deposit selepas sekadar meraih 4,603 undi.

Pada 7 Jan, Majlis Pimpinan Pusat PKR memecatnya dan empat ahli lain kerana bertanding pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, pada 2021, tanpa restu parti.

Empat yang lain membabitkan Puah Chee Haur (bahagian Parit Buntar), Ahmad Tarmizi Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping) dan Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Tian Chua berkata, beliau belum menerima surat rasmi status keahliannya, justeru menangguhkan membuat rayuan rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Tan Yee Kew, memberitahu FMT, “surat itu sepatutnya dalam penghantaran”.

Tan berkata, penghantaran surat itu tertangguh kerana perlu ditandatangani Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.