PM arah tangguh projek di Kampung Sungai Baru, beri ruang rundingan

PM arah tangguh projek di Kampung Sungai Baru, beri ruang rundingan

Sebelum ini penduduk terjejas meminta campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim setelah diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Jan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani turut menggesa penduduk di Kampung Sungai Baru yang diarahkan berpindah supaya diberi tempoh enam bulan untuk mencari tempat tinggal baharu.
PETALING JAYA:
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang mendapat bantahan segelintir penduduk diarahkan ditangguhkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Setiausaha politiknya Azman Abidin yang memaklumkan penangguhan dibuat supaya rundingan di antara penduduk dan pihak berkepentingan dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berbangkit.

“PM mengarahkan agar projek ini ditangguhkan sebulan atau sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan semula,” katanya menurut Malaysiakini.

Sebelum ini penduduk terjejas meminta campur tangan Anwar setelah mereka diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Jan, 30 hari selepas notis pengusiran dikeluarkan.

Pada 19 Disember 2022, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mengeluarkan notis pengusiran kepada penghuninya yang merupakan pemegang pajakan 99 tahun, masih berbaki 57 tahun.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani turut menggesa penduduk yang diarahkan berpindah supaya diberi tempoh enam bulan untuk mencari tempat tinggal baharu.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan PTGWPKL.

Sejumlah 37 pemilik rumah teres tidak setuju dengan kadar yang ditetapkan, manakala 27 lagi bersetuju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.