Lanjutkan visa Syeda hingga dapat semakan kehakiman, kata aktivis

Lanjutkan visa Syeda hingga dapat semakan kehakiman, kata aktivis

Isteri wartawan Pakistan itu tidak akan mendapat semakan kehakiman berhubung kehilangan suaminya jika pulang ke tanah air.

Wartawan Pakistan Syed Fawad Ali Shah telah dihantar pulang oleh Putrajaya pada Ogos tahun lepas atas permintaan Islamabad.
PETALING JAYA:
Visa isteri wartawan Pakistan yang hilang perlu dilanjutkan supaya beliau boleh mendapatkan semakan kehakiman berhubung kehilangan suaminya, Syed Fawad Ali Shah, kata seorang aktivis hak asasi migran.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, isteri Fawad, Syeda, tidak akan mendapat semakan kehakiman jika pulang ke tanah air.

Pereira berkata, Syeda “berhak mendapat keadilan” memandangkan Putrajaya telah melanggar prinsip “non-refoulement” dengan menghantar Fawad pulang pada Ogos tahun lepas.

Prinsip itu menjamin tiada sesiapa akan dikembalikan ke negara di mana mereka berdepan seksaan serta layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan mahupun menjatuhkan maruah.

Pereira menggesa Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud agar meluluskan lanjutan visa itu.

Syeda telah menulis surat kepada Khairul untuk mendapatkan lanjutan visa bagi menentukan keberadaan suaminya dan tindakan yang boleh diambilnya di Malaysia, jika perlu.

Difahamkan, peguam P Waytha Moorthy telah menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan lanjutan visa bagi pihak Syeda dan abangnya.

Waytha menggesa Anwar agar mengarahkan Khairul mengeluarkan lanjutan visa untuk kedua-duanya kekal di Malaysia bagi mencari kebenaran tentang keberadaan Fawad.

“Syeda juga harus diberi kerjasama penuh dalam atau di luar skop undang-undang,” tambah Pereira.

John Quinley daripada Fortify Rights berkata, pihak berkuasa Malaysia harus bekerjasama dengan Syeda apabila beliau mencari jawapan mengenai situasi suaminya.

“Malaysia harus melindungi pelarian termasuk wartawan seperti Fawad,” katanya.

Fawad, 41, berada dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun. Beliau hilang sejak 23 Ogos tahun lepas.

Beliau mendapatkan suaka atas dakwaan dianiaya di Pakistan berhubung artikel berkaitan rasuah dalam kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kemudiannya mengesahkan Fawad telah dihantar pulang atas permintaan Islamabad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.