
Berucap di pentas Perhimpunan Agung Umno 2022, Nor Saidi Nanyan berharap Zahid menjadi panglima perang untuk Umno Kedah bagi membantu jentera parti menjelang PRN tidak lama lagi.
“Dulu kami ada Tok Det (Mahdzir Khalid) dan Dato Azeez (Azeez Rahim) Kedah ada la juga wakil menteri. La ni Umno Kedah sudah tidak ada sapa-sapa (siapa) di Putrajaya.
“Besar harapan kami agar tuan presiden sudi menjadi bapa angkat kami bagi Umno Negeri Kedah,” katanya yang juga pemangku ketua Umno Langkawi.
Pada PRU15, Barisan Nasional dan Umno kalah di semua 14 kerusi Parlimen di Kedah dengan Perikatan Nasional menguasai 13 kerusi sementara Pakatan Harapan satu kerusi.
Mahadzir, adalah bekas Ahli Parlimen Padang Terap dua penggal yang dilantik sebagai menteri pembangunan luar bandar ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Sementara Azeez, Ahli Parlimen Baling dua penggal 2013 hingga 2022 yang juga bekas pengerusi Tabung Haji.
Kedua-dua mereka gagal mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.