
Pembubaran itu dimaklumkan dalam satu surat oleh PBM Pahang yang ditandatangani Naib Pengerusi Dasimah Zainudin kepada setiausaha agung parti itu, hari ini.
Menurut surat itu yang dilihat FMT, keputusan dibuat selepas dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan PBM Pahang hari ini.
Pembubaran itu dibuat berikutan rasa kecewa dan hilang kepercayaan kepada Presiden PBM, Larry Sng yang memungkiri janji untuk memberi laluan kepada pengasas PBM, Zuraida Kamaruddin untuk memimpin parti tersebut.
Lapan bahagian yang dibubarkan ialah Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Temerloh, Bentong, Bera, dan Rompin.
Dalam surat itu Dasimah juga mendakwa Larry juga ingkar dengan keputusan Persidangan Agung Tahunan PBM pada 1 Okt lalu, yang meluluskan usul secara sebulat suara agar proses peralihan kuasa presiden parti diberikan kepada Zuraida.
“Beliau (Larry) juga telah menyalahgunakan kuasa untuk memecat 13 pimpinan kanan parti termasuk Zuraida tanpa rundingan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,” menurut surat berkenaan yang salinannya turut dipanjangkan kepada ketua pengarah JPPM.