
Pindaan melibatkan Fasal 20.11 itu untuk disesuaikan dengan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti sebagaimana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022, dikuatkuasakan mulai 5 Okt lalu.
Pindaan lain yang diluluskan ialah meletakkan ketua penerangan bahagian secara automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, melibatkan pindaan pada Fasal 8.4.
Kelulusan kedua-dua pindaan itu disahkan Pengerusi Tetap Umno Badruddin Amiruldin yang menyatakan pindaan tersebut lulus dengan lebih suara bersetuju.
Terdahulu Naib Presiden Umno Khaled Nordin ketika membentangkan pindaan itu berkata ia dipinda bagi memastikan peruntukan oleh parti bersifat terkini dan selari dan peruntukan semasa dan undang-undang negara.
Perhimpunan agung kali ini melibatkan 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, iaitu ketua penerangan bahagian, menjadikan jumlahnya 2,822 orang.