
Sejumlah besar pelancong dijangka tiba dari China, yang sedang bergelut berdepan lonjakan penularan selepas sekatan ketat dilonggarkan di negara itu.
Vaksin bivalen Covid-19 diberikan kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, bulan lalu.
FMT meninjau lebih dekat apa yang perlu anda tahu mengenai vaksin itu.
Apa itu vaksin bivalen Covid-19?
Ia merupakan vaksin Covid-19 versi dipertingkatkan dan mensasarkan menyediakan perlindungan terhadap subvarian baharu.
Vaksin terdahulu adalah monovalen, bermaksud hanya mengandungi spike protein daripada virus asal, SARS-CoV-2.
Vaksin bivalen baharu ini mengandungi spike protein daripada strain asal dan juga didapati dalam subvarian Omicron BA.1 dan BA.4-5.
Sejauh mana keberkesanannya?
Menurut kajian diterbitkan dalam laporan mingguan morbiditi dan mortaliti oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, vaksin bivalen baharu dari Pfizer dan Moderna “mengeluarkan respon antibodi lebih tinggi terhadap subvarian BA.4/BA.5” berbanding suntikan asal.
Vaksin berkenaan memberi lebih perlindungan kepada mereka berumur 18 hingga 49 tahun, berbanding golongan lebih tua.
Apa kesan sampingannya?
Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat, individu mungkin mengalami kesan sampingan yang biasa dilaporkan berlaku kepada penerima vaksin Covid-19 mRNA.
Ia termasuk sakit dan/atau pedih di sekitar kawasan suntikan, keletihan, sakit kepala dan kesakitan otot.
Siapa yang boleh mendapat vaksin bivalen?
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu berusia 12 tahun dan ke atas yang menerima dos vaksin premier Covid-19 melebihi tiga bulan, layak menerima suntikan bivalen berkenaan.
Bagaimanapun, hanya penerima vaksin premier sebelum ini membabitkan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau CanSino sahaja layak mendapat dos penggalak ditambah baik itu.
Mereka yang menerima vaksin Sinovac atau Sinopharm tidak boleh mengambilnya.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, menggesa orang awam mengambil dos penggalak kedua.
Seramai 49.8% sahaja rakyat Malaysia mengambil dos penggalak pertama dan hanya 1.9% mendapatkan dos penggalak kedua.