JPJ akan perkenal sistem baharu, lebih pantas, kata Loke

JPJ akan perkenal sistem baharu, lebih pantas, kata Loke

Menteri pengangkutan membayangkan perbaharui cukai jalan atau lesen memandu hanya boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih.

Sebuah kiosk JPJ di masjid Putrajaya untuk memperbaharui lesen kenderaan bermotor. Kiosk ini juga boleh mencetak pelekat cukai jalan serta-merta. (Gambar JPJ)
KUALA LUMPUR:
Satu sistem baharu yang boleh mempercepatkan urusan di kaunter perkhidmatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperkenalkan tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, beliau akan mengumumkan butiran sistem baharu itu selepas Tahun Baharu Cina.

“Ia akan menjadi lebih mudah dan pantas,” katanya merujuk kepada proses memperbaharui cukai jalan, pensijilan kenderaan, lesen motor dan memandu.

“Bayangkan memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu melalui aplikasi pada telefon bimbit anda. Ia mudah dan pantas, dan boleh dilakukan mengikut masa dan keselesaan anda sendiri.

“Tidak perlu menunggu perkhidmatan kaunter dan beratur panjang. Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang berusaha ke arah ini,” katanya.

Loke berkata, kementerian sedang mengkaji pendigitalan sebagai satu cara untuk mengurangkan orang ramai ke pejabat JPJ, tanpa menjejaskan keselamatan.

Beliau berkata, kementerian akan menjalankan kajian kebolehlaksanaannya dan berharap ia dapat menyelesaikan sesuatu dan mencapai situasi menang-menang untuk semua.

Katanya, JPJ telah menambah bilangan kiosk di banyak cawangan di seluruh negara bagi menjadikan proses memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu lebih mudah, lancar dan pantas.

Waktu perkhidmatan untuk kiosk juga telah dilanjutkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.