
Seorang penduduk Rahimi Dolah, 45, dari Pos Belatim berkata kebun tanaman mereka di Kampung Chachuh beberapa kali dimusnahkan haiwan itu, dan beliau khuatir kumpulan gajah berkenaan akan bergerak ke kampung yang lain pula.
“Jarak antara rumah dan kebun saya kira-kira 1km dan saya tidak dapat dengar bunyi bising ketika kebun dimusnahkan gajah berkenaan kerana kejadian sering berlaku pada waktu malam.
“Saya berasa agak bimbang mengenai keselamatan penduduk di sini sebab gajah itu masih lagi berkeliaran di kawasan ini, dan tidak mustahil akan bergerak ke perkampungan lain,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Kamal Padek, 43, dari Pos Bihai pula berkata pada awalnya gajah liar berkenaan masuk ke kawasan penempatan mereka untuk mendapatkan makanan, namun ia bertindak merosakkan kebun yang jaraknya sejauh 100m dari penempatan penduduk.
“Isnin lepas seekor gajah masuk ke kawasan kampung untuk makan ubi kayu yang ditanam berdekatan rumah, kami berjaya menghalaunya, tetapi pada waktu malam ia masuk ke kebun pula.
“Gajah itu bukan sahaja memakan ubi dan pisang, tetapi juga merosakkan anak pokok kelapa dan pokok getah,” katanya.
Angah Along, 60, berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu.
“Gajah ini tidak mungkin akan bergerak ke tempat lain kerana telah menemui sumber makanannya di sini. Jadi saya harap agensi yang terlibat bantulah kami dengan segera,” katanya.
Sementara itu, ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata konflik gajah dengan manusia ini tidak boleh dibiarkan berterusan dan langkah keselamatan sementara seperti memasang lampu halau gajah atau tindakan menyalakan unggun api perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan gajah berkenaan terus merosakkan tanaman.