10 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin: Tindakan disiplin tak boleh semberono, kata Khaled

10 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin: Tindakan disiplin tak boleh semberono, kata Khaled

Naib presiden Umno berkata ia perlu melalui proses sewajarnya dan berpaksikan keadilan kepada semua.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata keutamaan perlu diberikan untuk mencapai kesepakatan dan kerjasama memandangkan parti tidak lagi kuat seperti dulu.
KUALA LUMPUR:
Sebarang tindakan disiplin terhadap pemimpin Umno termasuk daripada komponen Barisan Nasional (BN) yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri perlu melalui proses sewajarnya, kata Khaled Nordin.

Naib presiden Umno itu berkata, tindakan tindakan boleh semberono, bahkan ia perlu berpaksikan keadilan kepada semua pemimpin terlibat ke arah “pembersihan menyeluruh”.

“Semua itu akan melalui proses bukannya dilakukan dengan cara semberono dan supaya keadilan diberikan kepada semua,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau mengulas langkah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 nama Ahli Parlimen BN menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Pada 11 Jan, Zahid berkata, tindakan beliau mendedahkan nama berkenaan menerusi taklimat presiden bagi menjelaskan apa sebenarnya berlaku untuk dijadikan pengajaran kepada BN terus bergerak ke hadapan.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga menteri pengajian tinggi berkata, amaran presiden kepada semua pemimpin dan ahli Umno juga wajar dalam keadaan parti yang tidak lagi kuat dan kukuh seperti dahulu.

“Paling utama untuk parti adalah mesti ada kesepakatan dan kerjasama,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi sebelum ini mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ialah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Jalaludin Alias (Jelebu).

Turut dinamakan M Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.