
Lawyers for Animal Rights mempertikaikan dakwaan MPKL bahawa anjing dikurung di situ diberi makan dua kali sehari serta ditempatkan di tempat bersesuaian, dengan tempat kurungan dibersihkan secara berjadual.
Jurucakapnya Rajesh Nagarajan berkata, video yang tersebar menunjukkan anjing kurus kering dan keadaan kurungan kotor membuktikan haiwan itu dianiaya.
“Dakwaan bahawa anjing itu diberi makan dan tempat kurungan dibersihkan memang tidak boleh diterima.
“Mengarut untuk mengatakan anjing berkenaan diberi makan dua kali sehari sedangkan nampak seperti tahanan perang,” katanya kepada FMT.
Rajesh berkata JPV dan lembaga itu sepatutnya mendakwa MPKL mengikut Akta Kebajikan Haiwan kerana melakukan penderaan dan penyeksaan.
“Dalam kes ini, majlis tidak memberi makan secukupnya kepada anjing itu. Dan apa yang kita lihat dalam video itu memang akibat kebuluran secara sistemik,” katanya.
Beliau berkata, jika JPV atau lembaga berkenaan tidak bertindak bererti mereka juga bersikap cuai.
“Mereka bertindak tanpa perikemanusiaan. Mereka menyeksa mangsa yang tidak mampu bersuara.”
Beliau turut mengkritik tindakan MPKL menggesa orang ramai tidak mengabaikan anjing peliharaan sebaliknya menghantar ke pusat kurungan.
“Mereka berani bercakap begitu sedangkan penyeksaan dilakukan di pusat kurungan mereka berlaku terang-terangan.
“Sepatutnya mereka meminta maaf kerana menganiaya haiwan malang ini,” katanya.
Pada Rabu, MPKL berkata ia meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing di bawah seliaannya susulan kecaman hebat berhubung keadaannya yang kotor.
Katanya, ini akan dilakukan menerusi Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran.