Saya maafkan 10 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin, tapi akan pantau, kata Zahid

Saya maafkan 10 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin, tapi akan pantau, kata Zahid

Pengerusi BN berkata, pemantauan itu akan dilakukan bagi memastikan tiada lagi gerakan pembentukan kerajaan dengan membelakangi keputusan parti.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin Yassin akan dipantau bagi memastikan tiada lagi gerakan membelakangkan keputusan parti.
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersama Lembaga Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang bertindak menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15 lalu.

Pengerusi BN itu berkata, pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada lagi gerakan pembentukan kerajaan dengan membelakangi keputusan parti.

Beliau bagaimanapun memaklumkan sudah memaafkan semua 10 Ahli Parlimen BN yang bertindak menyokong Muhyiddin itu.

“Saya telah memaafkan apa yang telah berlaku, tapi saya bersama Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang dan juga sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan lain.

“Saya yakin mereka akan tetap bersama-sama Umno dan dalam mendokong kerajaan perpaduan dan saya yakin bahawa kesilapan dulu adalah kerana situasi politik tidak menentu,” katanya kepada media selepas selesai membuat lawatan di gerai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sempena Perhimpunan Agung Umno di WTC Kuala Lumpur.

Zahid berkata 10 Ahli Parlimen itu juga sudah menarik balik Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin.

Katanya, tindakan beliau mendedahkan 10 nama Ahli Parlimen itu menerusi taklimat presiden semalam juga bagi menjelaskan apa sebenarnya berlaku  untuk dijadikan pengajaran kepada BN terus bergerak ke hadapan.

“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama dengan kerajaan perpaduan dan saya nyatakan.

“Pendedahan yang saya buat dalam majlis taklimat presiden itu adalah pendedahan tertutup, saya kongsi maklumat kerana mereka perlu tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan kerajaan perpaduan dan oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan.

“Maka yang terbaik jadikan peristiwa itu sebagai pengajaran kerana keputusan BN adalah semua move on dan gerakannya hendaklah dilakukan secara en-bloc, secara satu pasukan,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ialah, Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Jalaludin Alias (Jelebu).

Turut dinamakan ialah M Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Mengulas gerakan reset Umno yang didakwa digerakkan beberapa individu tertentu secara dalaman yang dipercayai cuba menukar kepimpinan sedia ada menerusi pemilihan parti, Zahid berkata, pihaknya terbuka serta meraikan perbezaan pendapat sambil menyeru perubahan kepada parti perlu dilakukan secara berpasukan.

“Yang penting reset ini boleh kita lakukan bersama sama dan tidak penting bagi kita untuk layani perbedaan yang akhirnya mewujudkan kabilah berbeda.

“Saya mempunyai pendirian dan keyakinan lebih baik kita bersama sama lakukan perubahan perubahan secara drastik yang ada dengan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.