Kerajaan sasar percepat projek impak tinggi, kata Rafizi

Kerajaan sasar percepat projek impak tinggi, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata, kerajaan berharap dapat mengekalkan tahap perbelanjaan yang akan memberi kesan berganda bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada rakyat.

Rafizi Ramli berkata, kerajaan juga mencari ruang untuk menambah lagi projek-projek baru dalam sektor-sektor penting dan utama.
PUTRAJAYA:
Kerajaan menyasarkan untuk mempercepatkan projek berimpak tinggi terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan makanan, rantaian nilai makanan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau dalam Bajet 2023 akan datang ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam menyediakan perbelanjaan pembangunan, kerajaan berharap dapat mengekalkan tahap perbelanjaan yang akan memberi kesan berganda bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada rakyat.

“Angka sebenar (Bajet 2023) akan diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Di pihak kementerian ekonomi, kita bertanggungjawab pada projek-projek pembangunan yang dipanggil belanja pembangunan.

“Pendekatan kami setakat ini bukan sahaja meneruskan semua projek sedia ada tetapi kita mencari ruang untuk menambah lagi projek-projek baru dalam sektor-sektor penting dan utama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran OpenDOSM NextGen, di Jabatan Perangkaan.

Rafizi juga enggan mengulas sama ada kerajaan akan mengekalkan atau menyemak semula peruntukan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen sebelum ini.

Pada 7 Okt lalu, Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

Anwar yang juga menteri kewangan dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini.

Sementara, itu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata setakat ini tiada arahan daripada Anwar supaya Jemaah Menteri mengisytiharkan harta mereka.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan termasuk di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Setakat ini tidak ada,” katanya.

Menurutnya, sama ada terdapat menteri lain yang diarahkan berbuat demikian oleh Anwar atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), itu di luar pengetahuannya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada wujudnya arahan pengisytiharan harta dikeluarkan terhadap menteri Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada PRU15, sebahagian besar daripada 72 calon PKR membuat pengisytiharan harta masing-masing berikutan syarat parti itu yang mahu semua calonnya berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.