
Perbicaraan sepatutnya bermula hari ini tetapi ditangguhkan kerana wujud percanggahan dalam jadual peguamnya, RSN Rayer, dengan kes lain.
“Prosiding juga tertangguh kerana saya mengambil alih kes ini daripada Ramkarpal Singh hanya pada bulan lepas,” kata Rayer kepada FMT.
Ramkarpal telah meninggalkan amalan guaman untuk menjadi timbalan menteri undang-undang.
Naidu, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan mengambil dadah jenis metamfetamin (MDMA) pada 20 April tahun lepas.
Naidu, yang juga seorang peguam, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 12.13 pagi, 14 Jan tahun lepas, di ibu pejabat polis Bukit Mertajam, di mana dia dibawa untuk menjalani ujian dadah.
Naidu berdepan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan. Dia kini bebas dengan ikat jamin RM4,000.
Dia ditahan bersama 48 yang lain di sebuah kelab malam di Perai, dan kemudian direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
ADUN dua penggal Pasir Bedamar di Teluk Intan itu mendakwa dia pergi ke Pulau Pinang selepas dijemput rakan dan kliennya untuk makan malam Tahun Baharu Cina dan kemudian dibawa rakannya ke pusat hiburan itu.
Dia mendakwa, dadah dimasukkan ke dalam minumannya ketika dia pergi ke tandas, dan terdapat individu lain yang melihat minumannya ditambah.
Rayer berkata, dua representasi Naidu yang lepas kepada Jabatan Peguam Negara telah ditolak.
Representasi itu, antara lainnya, cuba menarik balik tuduhan terhadap Naidu kerana ia “langsung tidak dapat dipertahankan” berdasarkan keterangan terhadapnya.