Mohamad berterus-terang dengan perwakilan mengenai DAP, PN

Mohamad berterus-terang dengan perwakilan mengenai DAP, PN

Kerjasama dengan Pakatan Harapan menjadikan Umno parti yang mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan, kata Mohamad Hasan.

Mohamad Hasan berkata, keputusan menyertai kerajaan perpaduan bukan sahaja sangat penting untuk Umno, tetapi juga sangat penting untuk masa depan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Ucapan Mohamad Hasan pada perasmian perhimpunan agung sayap parti itu malam tadi menyaksikan pucuk pimpinan berterus-terang dengan perwakilan, terutama tentang kerjasama dengan seteru lama, DAP.

Timbalan presiden Umno itu berkata semua tahu Umno dan DAP bertentangan, namun hakikatnya Umno yang tewas PRU15 dipanggil untuk memainkan peranan demi negara, “di saat paling kritikal untuk Malaysia”.

Beliau merujuk kepada usul Istana Negara kepada Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi memecah kebuntuan politik, selepas Perikatan Nasional tidak mahu bekerjasama.

“Keputusan menyertai kerajaan perpaduan bukan sahaja sangat penting untuk Umno, tetapi juga sangat penting untuk masa depan Malaysia,” katanya kepada perwakilan Pemuda, Wanita, dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Pendirian Umno mesti disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.”

Di majlis yang disiarkan secara langsung kepada media, Mohamad berterus-terang mengatakan bahawa Umno dan DAP kenal dan faham pendirian masing-masing.

“Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura. Kita tahu siapa itu DAP,” katanya.

Namun Umno membuat keputusan untuk mengurus perbezaan itu bagi menyahut peranan strategik itu.

“Pilihan kita untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan menjadikan Umno parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan,” tegasnya.

Sebaliknya, kata Mohamad, Umno akan kerugian dalam jangka masa panjang jika ia bersama Perikatan Nasional, yang mensasarkan demografi yang sama dengannya.

Katanya, Umno sekadar ‘pemain ketiga’ jika ia menyertai kerajaan pimpinan PN, berdasarkan bilangan kerusi yang ia menangi pada PRU15.

“Lalu bagaimana semua ini akan menguntungkan Umno dalam jangka masa panjang?”

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad turut berterus-terang mengenai pandangan pucuk pimpinan terhadap PN dan parti utama gabungan itu, PAS.

Beliau mengingatkan perwakilan bahawa PN berhasrat mengkuburkan Umno dan menarik sokongan orang Melayu daripada parti itu.

“Kita mendapati sangat sukar bekerjasama dengan parti yang kewujudan dan perjuangannya ialah menghapuskan Umno untuk selama-lamanya.”

Mohamad mengingatkan perwakilan bahawa PN secara berkesan mempengaruhi pemikiran orang Melayu bahawa Umno “sinonim dengan kecurangan” dan “tidak layak menjadi wakil mereka”.

“Ternyata strategi ‘perang kognitif’ mereka sangat berjaya. Tsunami Melayu melanda utara dan pantai timur Semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak Umno.”

Hakikatnya, tegas Mohamad, keputusan beberapa pilihan raya umum lepas menampaknya bahawa sokongan Melayu tidak meningkat di sebalik cemuhan terhadap DAP.

“Malah merosot. Kerana faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak kita ternyata bukanlah pendirian kita terhadap DAP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.