
Sebahagian mengatakan mereka memilih telur, berbanding ikan sebagai sumber protein lebih murah, tetapi merungut harga telur juga “terlalu mahal” ketika ini.
Tinjauan FMT di tiga pasar di bandar raya ini, menunjukkan pengguna memilih berbelanja di pasar basah kerana menawarkan nilai yang terbaik, manakala pengguna yang mahu berjimat sentiasa mencari harga barang lebih berpatutan.
Kerani hospital, Rusidan Rusli, 28, yang berkunjung ke Pasar Chow Kit, berkata kini dia berbelanja RM300 sebulan, meningkat RM100 untuk membeli barang runcit.
“Harga telur paling mahal bagi saya kerana kita makan setiap hari. Sudah pastilah saya bandingkan harga, tapi kualiti juga kena ambil kira,” katanya kepada FMT.
Di Pudu, penjawat awam, Sheikh Dawood Mohammad Nik, 51, berkata dia berbelanja RM120 seminggu, bertambah RM50, untuk membeli barang runcit demi menampung keperluan lapan isi rumah.
“Kami cuba mengelak makan ikan dengan memilih telur sahaja, tapi harganya juga mahal. Ayam juga tidak lagi mencukupi sebab saiz pula kecil, saya kena beli dua ekor berharga kira-kira RM30.”
Ketika ini, telur ayam Gred C tempatan dijual 41 sen sebiji dengan Gred A, 45 sen sebiji. Ayam dijual pada harga RM9.40 per kg.
Pemilik restoran, Nurliza Emeera, 27, yang ditemui di Pudu, berkata dia sudah kurang membeli makanan laut dan sayuran untuk keperluan sembilan isi rumah.
“Saya datang ke pasar basah setiap minggu dan kebiasaan berbelanja RM200 sekarang. Sebelum ini saya hanya berbelanja RM100 kalau mahu berjimat,” katanya. “Jika harga terus meningkat seperti ini, saya mintalah kerajaan cuba kurangkannya. Minyak masak dan telur sangat penting.”
Dalam pada itu, kos belanja runcit bagi K Selvaraja, 77, sudah mencapai RM300-RM400 seminggu, meningkat hampir dua kali ganda.
“Sudah pasti saya kurangkan membeli ikan dan udang. Ketika ini, saya kena berhemah berbelanja bagi lima isi rumah.”