Situasi ‘tak pernah berlaku’ cetus Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing

Situasi ‘tak pernah berlaku’ cetus Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing

Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu menegaskan kemudahan dan kelonggaran diberikan bukan berkadar selamanya dan bersifat sementara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu dilanjut sehingga penghujung tahun yang sepatutnya tamat pada 31 Dis lalu.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing mengambil kira situasi ‘tidak pernah berlaku’ demi memudahkan proses pengambilan pekerja mengisi kekosongan dalam sektor kritikal, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Melalui pelan itu, majikan dibenar menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

“Kemudahan dan kelonggaran yang dirangka ini bukanlah untuk tempoh selama-lamanya namun ia hanya bersifat ‘unprecedented’ (tidak pernah berlaku dahulu) bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Katanya lagi, ‘kelulusan bersyarat’ iaitu kurang dari tiga hari akan diberikan bagi permohonan yang dibuat sambil menambah maklumat terperinci mengenai pelan itu akan dimaklumkan pihak kementerian dalam masa terdekat.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini, memutuskan untuk meneruskan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga Disember tahun ini.

Saifuddin berkata, tawaran rekalibrasi itu terbuka kepada semua pekerja asing yang tiada dokumen lengkap termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tiada dokumen.

Jelas Saifuddin, program itu dilihat mampu menyediakan keperluan tenaga kerja daripada tenaga asing yang sudah berada dalam negara.

“Kita buat saluran ini, mereka tampil, buat bayaran dan kemudian mereka dibenarkan untuk bekerja. Ini percepatkan lagi proses (pengambilan pekerja asing).

“Kerajaan menjana lebih RM700 juta (daripada kompaun dibayar). Maknanya, sektor pekerjaan terisi, majikan ada pekerja, mereka yang dokumen tidak sempurna kita bantu, sektor kritikal pun ada pekerja,” katanya.

Saifuddin turut memberi jaminan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan undang-undang serta semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama.

Terdahulu, Pelan Rekalibrasi Pati dilaksanakan sehingga 31 Dis 2022 dengan pendaftaran seramai 418,649 orang bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang bagi Program Rekalibrasi Pulang.

Saifuddin berkata, siri lawatan kerja delegasi Malaysia akan dilaksanakan ke negara sumber terpilih bertujuan untuk membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di Malaysia.

“Ini bagi memastikan negara sumber itu faham bahawa kita berharap untuk mudahkan proses pengambilan pekerja dan kita mohon mereka bantu, berdasarkan sistem dari negara mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.