
Pengunjung yang ditemui FMT di Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi berkata mereka berpuas hati dengan tahap perkhidmatan sedia ada di situ, namun percaya ia boleh jadi lebih baik.
“Saya tiada masalah untuk bayar lebih sekiranya perkhidmatan lebih pantas dan efisien,” kata seorang penerima rawatan, Yunos, 69, yang berpuas hati dengan kemudahan dan layanan kakitangan di situ.
Beliau memberitahu FMT waktu menunggu di Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi “semakin pendek”, dan temujanjinya selesai dalam tempoh masa kurang dua jam.
Namun tidak semua klinik kerajaan sebagus tahap di Bandar Baru Bangi, menurut beberapa pengunjung lain.
Aduan mereka kepada FMT mendedahkan bahawa pesakit terpaksa menunggu hampir separuh hari untuk menerima rawatan.
“Mungkin disebabkan kekurangan staf dan klinik tersebut perlu jaga banyak kawasan,” kata Azlina, 36, seorang ibu kepada tiga orang anak, yang berkunjung ke Klinik Kesihatan Sungai Chua.
Di Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi, seorang pesakit, Pariama, 52, yang menghidap kencing manis, berkata beliau sanggup bertukar klinik dari Banting semata-mata mahukan layanan baik, seperti yang dinikmati Yunos.
“Ada tempat (kakitangan) marah-marah (pesakit),” katanya. “Saya memang tak suka (Klinik Kesihatan) Banting tu. Air dah habis pun tak datang. Darah dah kering pun dia ‘tembak’ je.”
Pada Jun tahun lepas, menteri kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin mendedahkan sistem kesihatan negara bergelut untuk memenuhi keperluan penduduk dan memerlukan reformasi empat segi, antaranya pembiayaan yang mampan.
Menurut beliau, sistem penjagaan kesihatan awam amat kurang pembiayaan sehingga menimbulkan masalah, seperti kekurangan kakitangan, prasarana yang tidak diselenggara dengan baik, dan peralatan lapuk.
Katanya, nisbah perbelanjaan negara untuk penjagaan kesihatan sektor awam berbanding KDNK cuma 2.6% – di bawah purata 4% dalam kalangan negara berpendapatan menengah, dan bawah 5-6% yang disaran Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Khairy juga dilapor berkata negara perlukan suatu tabung khusus untuk penjagaan kesihatan, yang dibiayai oleh cukai dan dengan sokongan dermawan.