Pemandu Mercedes ditahan elak bayar tol 45 kali

Pemandu Mercedes ditahan elak bayar tol 45 kali

Wanita itu bersetuju untuk membayar tunggakan bayaran tol berjumlah RM275 ketika ditahan.

Pemandu kereta Mercedes-Benz A-class yang ditahan di Plaza Tol Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur kerana mengelak daripada membayar tol. (Gambar Twitter Prolintas)
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang memandu kereta Mercedes-Benz A-class ditahan kerana mengelak membayar tol sebanyak 45 kali.

Pengendali lebuh raya Prolintas berkata, wanita itu bersetuju untuk membayar tunggakan bayaran tol ketika ditahan. Wanita itu membayar kira-kira RM275.65 untuk semua bayaran tol yang dia cuba elak sebelum ini.

Prolintas dalam satu hantaran di Twitter berkata, wanita itu ditahan di plaza tol Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur baru-baru ini selepas didapati dia mengelak daripada membayar tol sebanyak 45 kali.

Penulis permotoran, Paul Tan berkata, kenderaan yang dipandu wanita itu adalah model lama, di mana pengguna Twitter mengelar wanita itu orang kaya yang kedekut.

Seorang lagi pengguna Twitter berkata: “Model lama, mungkin kereta `second-hand’ Tidaklah kaya sangat”.

Jurucakap Prolintas menyeru pengguna lebuh raya menjadikan tindakan hari ini sebagai satu amaran. “Jangan tiru tindakan tidak bermoral ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan mengelak daripada membayar tol bukan sahaja satu tindakan menceroboh tetapi turut membahayakan pengguna kenderaan lain.

Mereka yang mengelak membayar tol biasanya akan mengekori rapat kenderaan lain di hadapan dan segera melepasi palang tol sebelum ia ditutup.

Mereka yang didapati bersalah menceroboh dengan tidak membayar tol boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 jika didapati bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.