Laksana baik pulih ‘mudah’, G25 gesa PM kembalikan tatacara kewangan, reformasi pendanaan politik

Laksana baik pulih ‘mudah’, G25 gesa PM kembalikan tatacara kewangan, reformasi pendanaan politik

Kini masanya untuk kembali ke tatacara wajar dan selesaikan reformasi yang dimulakan pentadbiran lepas hasil MoU ketika Anwar Ibrahim menjadi ketua pembangkang.

G25 mahu reformasi yang dipersetujui oleh pentadbiran lepas dibawa ke Parlimen untuk digubal dengan segera termasuk pendanaan politik.
PETALING JAYA:
Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan beberapa baik pulih ‘mudah’ ketika negara sudah menunjukkan tanda-tanda kestabilan politik bawah pimpinannya.

Baik pulih ‘mudah’ yang dikatakan itu termasuk pengembalian tatacara kewangan dan pentadbiran bagi melindungi kepentingan awam terutama berkenaan kontrak dan pemerolehan kerajaan.

G25 maklum beberapa pihak mempertahankan keputusan menyisihkan peraturan-peraturan kawal selia berkenaan, atas alasan terlalu birokratik dan mengambil masa atau perlu bagi melaksanakan matlamat Dasar Ekonomi Baru.

Kumpulan bekas penjawat awam ini berkata kini masanya untuk kembali kepada tatacara-tatacara wajar selepas berusaha lebih 50 tahun untuk mencapai matlamat DEB.

“Membasmi rasuah di setiap peringkat pentadbiran dan mengamalkan standard tadbir urus yang tinggi akan melindungi negara daripada skandal serta mengukuhkan keyakinan sektor swasta dan pelabur asing untuk berurusan dengan kerajaan dan GLC,” kata G25 dalam kenyataan.

“Kami menyeru ketua setiausaha negara menerbitkan pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian persekutuan dan setiausaha kerajaan negeri bahawa pemerintah mahu semua peraturan pentadbiran dan kewangan dikenakan dengan tegar dan dipatuhi dalam bidang kuasa masing-masing.”

Mengulas lanjut, G25 berkata sekarang Anwar boleh selesaikan beberapa reformasi yang dimulakan oleh pentadbiran lepas hasil memorandum persefahaman yang dimeterai antara pembangkang dan pemerintah, ketika beliau menjadi ketua pembangkang.

Antaranya berkenaan pendanaan politik untuk mengawal selia suatu sistem yang meneluskan kutipan dana oleh parti dan ahli politik.

“Kami mahu reformasi yang dipersetujui oleh pentadbiran lepas dibawa ke Parlimen untuk digubal dengan segera. Tidak ada sebab atau alasan untuk tangguh. Kami menyeru perdana menteri menunjukkan kepimpinan beliau…” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.