Firma China bantu Kedah lombong RM60 bilion nadir bumi

Firma China bantu Kedah lombong RM60 bilion nadir bumi

Nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Mou itu akan membolehkan perlombongan REE dijalankan dan pembinaan kilang untuk memproses galian berkenaan.
ALOR SETAR:
Kerajaan negeri Kedah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat tempatan yang disokong firma dari China untuk melombong unsur nadir bumi (REE) di negeri ini yang bernilai RM60 bilion.

MoU itu ditandatangani antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan Jangka Bakat Mineral Sdn Bhd dan rakan teknikal Xiamen Tungsten Co Ltd di Wisma Darul Aman hari ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Mou itu akan membolehkan perlombongan REE dijalankan dan pembinaan kilang untuk memproses galian berkenaan.

Nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain.

Perjanjian itu membolehkan syarikat berkenaan melakukan kajian di tapak seluas 146 hektar milik kerajaan negeri dan lesen perlombongan dikeluarkan kerajaan negeri.

“Ini adalah detik bersejarah untuk industri perlombongan di Kedah yang dahulunya terkenal dengan emas dan bijih timah. Kami mengucapkan terima kasih kepada Jangka Bakat Minerals dan Xiamen Tungsten kerana bersetuju untuk bekerjasama menjayakan perlombongan REE di Kedah.

“REE tidak boleh ditemui di mana-mana tetapi dengan izin Allah, deposit dan simpanan elemen ini ditemui secara semulajadi di Kedah, dan ia adalah berkualiti tinggi,” katanya kepada wartawan.

Kata Sanusi, perlombongan itu memberi impak yang minima kepada alam sekitar dengan tiada pokok di tebang, tetapi hanya batang paip diletakkan di bawah tanah untuk mencairkan nadir bumi dan kemudiannya diasingkan menerusi tarikan graviti.

Mengulas mengenai isu undang-undang, Sanusi berkata, beliau kecewa dengan kelewatan Kementerian Alam Sekitar untuk mengeluarkan prosedur berkaitan perlombongan REE, menyebabkan negeri itu kerugian.

Sanusi berkata, Kedah akan menggunakan kuasa yang ada pada negeri itu untuk melombong nadir bumi.

“Lebih buruk apabila REE dilombong secara haram di Kedah. Saya sudah bertanya beberapa kali ketika mesyuarat majlis tanah negara dan jawapannya kami perlu menunggu SOP.

“SOP ini mesti dikeluarkan segera supaya kita boleh menjana pendapatan untuk negeri tetapi sebaliknya ia diambil oleh pelombong haram,” katanya.

Pada 2020, Kedah berkata, negeri itu akan memanfaatkan RM600 bilion REE di tanah milik negeri itu di Sik, Baling dan Ulu Muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.