3 hari saja untuk lulus tenaga kerja asing, kata Saifuddin

3 hari saja untuk lulus tenaga kerja asing, kata Saifuddin

Katanya, majikan dibenarkan menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar majikan, tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kuota.

Sektor perladangan sawit antara yang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.
PUTRAJAYA:
Majikan yang mahu memohon tenaga kerja asing dari 15 negara bakal menerima kelulusan dalam tempoh tiga hari, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, yang dihadkan kepada tujuh sektor, telahpun dipersetujui jemaah menteri.

“Melalui pelan ini majikan dibenarkan menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar majikan, tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kuota,” kata Saifuddin dalam sidang media di Putrajaya.

Menurutnya, kerajaan mengambil sikap mempermudah dan menyegerakan kelulusan kemasukan pekerja asing, dengan kelulusan diberikan dalam tempoh tiga hari selepas majikan memasukkan permohonan.

Beliau menambah tujuannya adalah untuk mencambahkan pertumbuhan ekonomi, dengan kerajaan menganggarkan kenaikan 1% keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekiranya kemasukan pekerja asing dipermudahkan dan dipercepatkan bagi memenuhi keperluan tujuh sektor berkenaan.

Sektor terlibat adalah perindustrian, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, pembantu rumah, perlombongan dan pengkuarian.

Lima belas negara berkenaan pula adalah Bangladesh, Kemboja, India, Indonesia, Kazakhstan, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan, dan Vietnam.

Saifuddin berkata, kerajaan akan menghantar delegasi ke negara berkenaan untuk menjelaskan dasar baharu itu dan mendapatkan persetujuan mereka.

Bulan lalu, Saifuddin mengetengahkan kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor, termasuk keadaan dihadapi sektor perladangan sawit dijangka lebih sukar dengan 200,000 pekerja diperlukan, bukannya 120,000 seperti yang dianggarkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.