Tinggal lebih masa 14 tahun, Warga Pakistan dipenjara 8 bulan, denda RM50,000

Tinggal lebih masa 14 tahun, Warga Pakistan dipenjara 8 bulan, denda RM50,000

Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal lebih masa menggunakan pasport tamat tempoh pada 15 Mei 2008.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan Bakht Rahman diusir pulang ke Pakistan selepas menjalani hukuman itu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang warga Pakistan dihukum penjara lapan bulan dan denda RM50,000 selepas mengaku salah tinggal lebih masa sehingga lebih sedekad di Malaysia.

Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan Bakht Rahman, 47, diusir pulang ke negara asal, selepas menjalani hukuman itu.

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda itu.

Hakim berkata, kesalahan tertuduh adalah serius dan berat kerana tinggal lebih masa di negara ini selama 14 tahun, tujuh bulan dan 12 hari.

“Hukuman ini sebagai mesej jelas tiada sesiapa boleh mengatasi atau memperolok-olok akta dan peraturan imigresen di negara ini,” tegas Awang Kerisnada menurut Harian Metro.

“Sekiranya datang dengan cara yang betul…mesti ikut undang-undang, guna saluran sah dan jika berhasrat tinggal lebih lama…boleh buat permohonan. Sebaliknya, kesalahan kamu ini…jika sehari dua (tinggal lebih masa) mungkin boleh dimaafkan, tetapi ini sudah lebih sedekad.”

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Tawau di Jalan Wakuba Gading, Tawau kira-kira 1 tengah hari 27 Dis lalu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal lebih masa menggunakan pasport yang tamat tempoh pada 15 Mei 2008.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Tawau, Pilin Kenrey, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.