MTUC dakwa banyak majikan tak patuh pindaan Akta Kerja

MTUC dakwa banyak majikan tak patuh pindaan Akta Kerja

Setiausaha MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja dan kesatuan sekerja mengenai perkara itu.

Sebelum ini kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuatkuasa 1 Sept 2022 namun ia ditunda kepada 1 Jan 2023.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa banyak majikan gagal mematuhi Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 sejak seminggu pelaksanaannya yang bermula 1 Jan lalu.

Setiausahanya, Kamarul Baharin Mansor, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja dan kesatuan sekerja mengenai kegagalan itu termasuk pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu.

“Setelah seminggu penguatkuasaan pindaan akta baharu ini, banyak aduan daripada pekerja dan kesatuan sekerja mengenai kegagalan majikan membuat pindaan selaras dengan akta baharu.

“Waktu kerja yang dikurangkan kepada 45 jam seminggu masih lagi tidak dilaksanakan. Majikan tidak membuat persediaan yang sewajarnya kerana mengharapkan kerajaan menunda sekali lagi pelaksanaannya.

“Terdapat majikan telah mengubah amalan syarikat dengan meminda terma-terma perkhidmatan tanpa ada persetujuan daripada pekerja. Sebelum pindaan akta kerja, majikan membayar upah bagi masa waktu rehat tetapi setelah pindaan dibuat majikan tidak lagi membayar upah bagi masa waktu rehat.

“Majikan mengubah terma perkhidmatan ini supaya waktu kerja adalah 45 jam. Kelakuan majikan ini telah menyebabkan kemarahan pekerja kerana tempoh berada di syarikat tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tujuan pengurangan waktu kerja untuk memberi keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan bersama keluarga, malangnya majikan menggunakan cara lain memaksa pekerja berada di syarikat dengan tempoh 48 jam seminggu.

“MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia membuat pemeriksaan ke atas semua syarikat secara berkala supaya pindaan Akta Kerja ini memberi manfaat kepada pekerja. Kementerian perlu bertindak tegas terhadap majikan sehingga pendakwaan perlu dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 Sept 2022, namun ia ditunda kepada 1 Jan 2023.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin dari 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.