Kes baharu Covid-19 turun 14.2% kepada 3,231 minggu lalu

Kes baharu Covid-19 turun 14.2% kepada 3,231 minggu lalu

Purata kes aktif sepanjang minggu lalu menurun sebanyak 10.8% daripada 12,647 kepada 11,278 kes.

Sebanyak 5,026,677 kes Covid-19 dicatatkan di negara ini sejak Januari 2020.
PETALING JAYA:
Jumlah kes baharu Covid-19 menurun sebanyak 14.2% daripada 3,767 kes kepada 3,231 kes sepanjang minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi minggu berakhir 7 Jan itu, katanya, purata kes aktif menurun sebanyak 10.8% daripada 12,647 kes pada minggu sebelumnya kepada 11,278 kes sepanjang minggu lalu.

“Bilangan kes sembuh menurun sebanyak 35.6% daripada 5,869 kes kepada 3,781 kes,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, jumlah kematian menurun sebanyak 4.5% kepada 21 kes berbanding 22 kematian pada minggu sebelumnya, menjadikan keseluruhannya 36,874 kematian direkodkan sehingga kini.

Beliau berkata, sebanyak 5,026,677 kes Covid-19 direkodkan di negara ini sejak Januari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.