Ewon rasmi jadi presiden Upko Ahad ini

Ewon rasmi jadi presiden Upko Ahad ini

Pada September lalu, Wilfred Madius Tangau mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden Upko.

Wilfred Madius Tangau (dua dari kanan) bersalaman dengan Ewon Benedick pada sidang media khas Upko di Penampang, pada 28 Sept lalu. (Gambar UPKO)
PETALING JAYA:
Presiden Upko Wilfred Madius Tangau akan menyerahkan jawatan disandang secara rasmi kepada naib presidennya, Ewon Benedick, pada konvensyen parti itu di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, Ahad ini.

Timbalan Setiausaha Agung Upko, Fairuz Bandar, berkata Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran mengambil keputusan itu selepas mengambil kira kekalahannya pada pilihan raya negeri ke-16 (PRN16) Sabah, serta kegagalan parti yang sekadar menang satu daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

“Tindakan diambil Madius itu sekali lagi menunjukkan kematangan politik dengan melakukan proses peralihan kepimpinan melalui perundingan demi mengelakkan perpecahan dalam parti.

“Kekalahan Madius dalam PRN16 dan kegagalan Upko menawan 11 daripada 12 kerusi ditandingi antara faktor utama beliau melepaskan jawatan tertinggi parti itu kepada Ewon,” lapor Berita Harian.

Dalam pentadbiran kerajaan pusat diterajui Anwar Ibrahim, Ewon dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Pada 28 Sept lalu, Madius mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden, selain menamakan Ewon sebagai penggantinya.

Beliau yakin, berbekal semangat berpasukan yang kental, Upko mampu bangkit sebagai sebuah parti yang mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Sehubungan itu, Fairuz berharap proses peralihan kepimpinan menerusi perundingan demi mengelakkan perpecahan dalam parti terlaksana dengan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.