
Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.
“Tentulah tidak bijaksana untuk selektif dan saya fikir tidak tepat untuk negara ambil pendirian begitu,” katanya dipetik Bernama selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kepentingan menjaga keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman kesihatan, termasuk Covid-19.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan Covid-19 terhadap pelancong asing, tetapi mahu memastikan kesihatan rakyat menjadi keutamaan.
Katanya, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen diperketatkan bagi memantau kemasukan warga asing.
Saifuddin berkata, pelancong yang dikenal pasti demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.
“Kalau suhu 37 darjah celsius, mereka letak (pelancong) di point khusus untuk buat semakan, kalau kekal dengan rekod tanda-tanda, iaitu positif…terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya yang berpuas hati dengan pemeriksaan di kaunter Imigresen KLIA kerana semua pelancong mematuhi SOP.