
Katanya, program itu langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban golongan itu dalam tempoh enam bulan ini dan ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Program Payung Rahmah akan diperincikan lebih lanjut dalam ucapan tahun baharu kementerian itu di Putrajaya pada Selasa. Program itu turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Pengangkutan.
“Program Payung Rahmah Kasih Sayang ini adalah inisiatif berfokus selama enam bulan yang menyentuh golongan B40 dan miskin tegar, yang jika tidak dibantu kita bimbang keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini menyebabkan mereka akan terkesan.
“Program ini membabitkan empat elemen, iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah bagi menyantuni golongan B40,” katanya di Johor Bahru malam tadi, lapor Harian Metro.
Menurut Salahuddin, Bakul Rahmah menumpukan kepada pemberian bakul makanan setiap bulan, manakala Barangan Rahmah membabitkan 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.
“Kafe Rahmah pula khusus bagi penuntut universiti bagi mendapatkan makanan pada harga lebih murah, dengan penuntut susah akan dibantu,” katanya.