MCA takkan jadi oportunis politik untuk berkuasa, tegas naib presiden

MCA takkan jadi oportunis politik untuk berkuasa, tegas naib presiden

Ti Lian Ker berkata, partinya juga tidak akan mengeksploitasi sentimen dan emosi ekstremisme secara radikal untuk mengaut sokongan sesuatu kaum.

Naib presiden MCA Ti Lian Ker berkata, parti itu akan menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan perpaduan ke arah kestabilan politik.
PETALING JAYA:
MCA tidak akan menjadi oportunis politik atau merebut peluang politik semata-mata untuk berkuasa, tegas naib presidennya, Ti Lian Ker.

Katanya, segala tindakan MCA selama ini berlandaskan prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan, institusi dan tradisi.

“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan, tohmahan atau fitnah dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa.

“Kami juga tidak akan mengeksploitasi sentimen dan emosi ekstremisme secara radikal untuk mengaut sokongan sesuatu kaum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan seorang ahli akademik yang menasihatkan MCA memihak kepada DAP supaya berada dalam kedudukan baik bagi mendapatkan kerusi yang boleh dimenangi pada PRN Pulau Pinang dan Selangor akan datang.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, MCA tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan DAP untuk kekal relevan memandangkan Barisan Nasional (BN) kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

Ti berkata, MCA mampu berdikari dan akan melakukan “percambahan minda” bagi meneruskan strategi perjuangan parti berteraskan kemajmukan dan kesederhanaan berlandaskan perlembagaan persekutuan dan negeri.

Walaupun MCA hanya mempunyai dua Ahli Parlimen, katanya, parti itu akan menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan perpaduan ke arah kestabilan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.