
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan yang mengesan sebuah Perodua Myvi berhenti tergesa-gesa sejauh 200m dari sekatan jalan raya di kampung itu.
“Pemandu dan penumpang kereta itu melarikan diri, manakala pemeriksaan di but kenderaan yang ditinggalkan itu menemui 26 peket plastik lutsinar disyaki dadah yang diletakkan dalam dua guni putih dan satu beg pakaian plastik beroda warna hitam,” katanya menurut laporan Bernama.
Susulan itu, katanya, empat lelaki berusia 16 hingga 30 tahun itu ditahan di Pasir Mas menerusi empat serbuan pada hari sama hingga semalam.
Beliau berkata, mereka direman sehingga 13 Jan ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau percaya kes itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa kerana dadah itu diperoleh dari Thailand untuk pasaran Kuala Lumpur.
Dalam kes berasingan, Zaki berkata, dua pemandu lori berusia 28 tahun ditahan di Kampung Batu 6, Batu Melintang, Jeli semalam kerana disyaki menyeludup daun ketum bernilai RM20,000.

“Taktik licik penyeludupan daun ketum menggunakan lori tangki simen bagi mengaburi mata pihak berkuasa dibongkar apabila pemeriksaan lanjut pada lori menjumpai 2,000kg daun ketum yang dibawa masuk dari negeri utara untuk pasaran Kelantan.”
Katanya, dua lelaki itu yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan positif dadah jenis Benzo kini direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.